Sunday, September 29, 2013

Sejarah Ringkas Mat Kilau Yang Mungkin Tidak Diketahui Umum

matkilau
SEJARAH PERJUANGAN MAT KILAU
Mat Kilau dilahirkan pada tahun 1865 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang Darul Makmur. Bapanya bernama Imam Rasul atau gelarannya Tok Gajah, seorang pembesar Pahang.
Ibunya bernama Mahda binti Tok Kaut Burau. Dari kecil beliau telah pandai membaca al-Quran, berzanji, berdikir maulud dan berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’.
Hobi beliau ialah bermain gasing dan berlaga buah keras, sejenis permainan tradisional yang telah pupus.
Beliau sentiasa menjadi juara di kampungnya. Ketika berusia 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan Yang Chik binti Imam Daud dari Kampung Kedondong dan dianugerahkan tiga orang cahaya mata.
Mat Kilau belajar silat, menuntut ilmu kebatinan dan seni mempertahankan diri serta bermain senjata seperti keris, tombak dan parang daripada ayahnya, Tok Gajah. Beliau menuntut ilmu agama daripada
Allamah Haji Botok bin Osman, ulama Kelantan yang berpindah menjadi mufti Pahang pada zamannya.
Sekitar tahun 1890-an, tugas memungut cukai dan hasil tanah oleh pembesar negeri yang dilantik telah diambil alih E.A. Wise, wakil penjajah British. Rakyat Pahang marah dengan tindakan British itu lalu bangun memberontak termasuk para pembesar negeri antaranya Tok Gajah dan Dato’ Bahaman.
Mat Kilau, pahlawan muda berusia 27 tahun ketika itu muncul membantu perjuangan Dato’ Bahaman dan Tok Gajah. Pahlawan tiga serangkai ini menguatkan pasokan tentera menentang British. Mereka berperang dengan British di Lubuk Terua, Temerloh, Bentong, Jeram Ampai dan Kuala Tembeling.Gerakan ini mendapat sokongan padu daripada ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.
Dengan kemahiran selok belok ilmu hutan dan treking Mat Kilau menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini masih digunakan oleh pencari hasil hutan seperti damar dan kayu gaharu dikenali sebagai Laluan Mat Kilau atau Mat Kilau Trail. Pada 14 Jun 1894 Dato’ Bahaman dengan bantuan Mat Kilau bersama 100 orang pengikut mereka menawan semula Kuala Tembeling dan Jeram Ampai. British bertindak balas di bawah pimpinan Kolonel Walker. Sejak itu mereka terus diburu oleh British dan dilabel sebagai penderhaka.
Akhirnya mereka terpaksa berundur ke Kelantan. Pada 22 Oktober 1895 akhbar The Straits Times melaporkan, “Ketua Penderhaka, Dato’ Bahaman telah ditawan pemerintah Siam.” Akhbar The Free Press pula melaporkan, ”Mat Kilau telah melawan apabila ditahan. Akibatnya dia telah cedera parah di muka dan kepalanya. Dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu.”
Sebenarnya Mat Kilau tidak mati. Ini disahkan oleh kawan-kawannya iaitu Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lagi. Disebabkan Mat Kilau telah sedia dicop ‘penderhaka’ oleh Inggeris, maka terpaksalah beliau menyembunyikan identiti dirinya serta berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.
Akhirnya beliau bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak tahun 1930, beliau menukar namanya beberapa kali dan akhirnya menggunakan nama Mat Siam. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, anak Mat Kilau yang bernama Omar Mat Kilau mengiring bapanya ke masjid Kampung Masjid, kampung kelahiran Mat Kilau, untuk solat Jumaat. Beliau yang memakai serban hitam dan gamis putih diusung dan dipayungi oleh sekumpulan pengikutnya. Selepas solat beliau membaca al-Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau dengan kad pengenalan no. 2044778 atas nama Mohamad bin Ibrahim.
Kerajaan negeri Pahang menubuhkan sebuah jawatan kuasa pada 8 Januari 1970 dan beberapa orang ditemuramah bagi mengesahkan bahawa Mat Siam itu sebenarnya ialah Mat Kilau. Pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh. Empat hari kemudian pada 10 Ogos 1970 Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur ketika berusia 105 tahun.

No comments:

Post a Comment