Wednesday, September 11, 2013

Jep (Sepahtu) Terpaksa Tolak Tawaran Jadi Deejay Radio


Jep (Sepahtu)
PETALING JAYA: Pelawak Mohd Nadzri Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Jep (Sepahtu), menolak tawaran untuk bergelar deejay radio sebuah stesen swasta walaupun sudah banyak kali menerima peluang itu.
Jep, 28, berkata, ini kerana dia mempunyai jadual kerja yang padat selain mahu memberi komitmen dalam bidang lakonan terlebih dahulu.
"Saya memang berminat menjadi seorang deejay radio, tapi saya tidak boleh beri komitmen seratus peratus kerana takut akan mengganggu masa penggambaran saya.
"Saya bimbang jika jadual kerja yang tidak dapat diaturkan dengan baik, ia akan menjejaskan juga masa artis lain," katanya kepada mStar Online.
Tambah Jep, dia menerima tawaran tersebut beberapa kali namun terpaksa ditolak.
"Saya segan juga, mereka bagi tawaran beberapa kali tapi saya tolak dengan cara baik kerana saya betul-betul takut tidak mampu untuk lakukan.
"Dulu saya pernah jadi penyampai di radio Era FM selama enam bulan dan ia memang agak sukar untuk bahagikan masa," katanya.
Dalam pada itu, kata Jep, dia juga mengakui perlu memikirkan keputusan tersebut sama ada dapat membantu kerjayanya atau sebaliknya.
"Untuk buat banyak benda dalam satu-satu masa ia merupakan risiko. Saya jenis yang fokus satu kerja.
"Selain itu, saya juga fikir adakah ia akan membantu meningkatkan kerjaya saya atau menjatuhkannya," kata Jep.

No comments:

Post a Comment