Monday, September 30, 2013

Guna ubat rangsang nafsu


PETALING JAYA - Sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di sekitar Dataran Mentari diserbu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana beroperasi tanpa lesen sejak lima bulan lalu.

Pengarah Penguatkuasaan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, hasil pemantauan yang dijalankan sebelum ini pihaknya mendapati premis berkenaan turut menyediakan pakej seks kepada pelanggan.

Menurut Fauzi, premis berkenaan pernah diserbu beberapa kali dan tindakan sita juga dikenakan namun pemiliknya masih tidak serik.

"Operasi kali ini yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan lapan wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan.

"Kesemua wanita berkenaan didapati menyalahgunakan pas lawatan pelajar. Mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya bagi membolehkan siasatan lanjut,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai premis berkenaan, Fauzi berkata, tukang urut di situ juga didapati menggunakan produk khas untuk merangsang nafsu pelanggan yang hadir bagi mendapatkan khidmat seks.

Dalam pada itu, pihaknya juga mendapati premis berkenaan aktif  menjalankan operasi perjudian siber.

Menurut Fauzi, penguatkuasa MBPJ juga turut menyita dua set komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian siber di dalam premis berkenaan.

Tambahnya, pihaknya akan mengambil tindakan di bawah Akta Undang-undang Pusat Kecantikan dan Kesihatan 2007 atas kesalahan yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment