Thursday, September 12, 2013

Kanak-Kanak 2 Tahun Maut Dirempuh Kereta Bapa !


Kanak-kanak 2 Tahun Maut Dirempuh Kereta Bapa

PARIT BUNTAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dirempuh kereta bapanya berikutan tindakan abangnya yang berusia empat tahun bermain-main di dalam kereta berkenaan dalam kejadian di Taman Kerian dekat sini hari ini.
Bapa mangsa, Mohd Ali Hussin, 53, berkata Mohd Adam, 2, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala setelah kereta itu mengundur dan merempuh anaknya itu.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, Mohd Ali berkata beliau berada di dalam rumah untuk mengambil barang selepas pulang daripada menghantar isterinya yang berniaga di Alor Pongsu, Bagan Serai.
“Saya menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi bising di luar rumah dan bergegas keluar dan mendapati anak saya Aiman Yasin cuba menghidupkan enjin kereta,” katanya.
Katanya beliau cuba menahan anaknya itu daripada menghidupkan enjin, namun gagal lalu mengakibatkan kereta mengundur dan melanggar Mohd Adam yang berada di belakang kereta.
“Saya tidak menyangka kereta itu mengundur dan percaya Aiman Yasin telah memasukkan gear mengundur secara tidak sengaja ketika sedang bermain,” katanya.
Beliau berkata Mohd Adam cedera parah akibat tersepit antara kereta dan dinding rumah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian itu. – BERNAMA





No comments:

Post a Comment