Dikebumi selepas 60 hariJenazah Shaerol (gambar kecil) dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Gurap dekat Ipoh selepas dituntut bapanya di Unit Forensik Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh.
Jenazah lelaki mati tersepit disimpan di bilik mayat

Ipoh: Selepas 60 hari ditempatkan di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, jenazah lelaki yang dilaporkan mati tersepit di tingkap rumah jirannya pada 20 Julai lalu, selamat dikebumikan kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Jenazah Shaerol Aizam Mohd Damanhuri, 27, dituntut keluarganya kira-kira jam 11 pagi untuk dibawa ke rumah mereka di Taman Saz, Silibin, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap di Jalan Kuala Kangsar di sini. 
Majlis pengebumian itu berjalan lancar dengan dihadiri lebih 50 orang termasuk ahli keluarga dan saudara-mara bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah. 


Bapa Allahyarham, Mohd Damanhuri Mohd Fuad, 50, berkata hatinya terbuka untuk mengebumikan anaknya selepas mendengar nasihat dan pendapat beberapa doktor pakar serta peguamnya, Isnin lalu.

“Keputusan ini dibuat tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak. Malah, keputusan untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan dibatalkan kerana mengambil tempoh agak lama untuk mendapatkan keputusan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Gurap, di sini, semalam.

Gagal lolos

Akhbar sebelum ini melaporkan Shaerol Aizam dipercayai sesak nafas selepas gagal meloloskan diri menerusi tingkap berpalang besi di rumah jirannya itu sekitar jam 11 malam. 
Keluarga Allahyarham bagaimanapun tidak berpuas hati dengan punca kematian yang dinyatakan dalam laporan bedah siasat HRPB berikutan menemui beberapa kesan lebam pada tubuhnya dan enggan mengebumikannya sehingga bedah siasat kali kedua dilakukan.

Bagaimanapun, pada 11 September lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan untuk bedah siasat kedua ke atas jenazah lelaki itu kerana tidak mempunyai asas kukuh untuk dipertimbangkan dan akan menjadi satu urusan sia-sia jika bedah siasat kali kedua dibenarkan.

Keputusan satu rahmat

Sementara itu, ibu Allahyarham, Salamiah Hasan, 45, berkata dia agak terkejut apabila dimaklumkan oleh suaminya berhubung keputusan untuk mempercepatkan proses pengebumian Allahyarham kira-kira dua hari lalu.

“Selepas diberitahu, hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya hati saya selepas sekian lama jenazah Allahyarham disimpan di bilik mayat. Saya menganggap keputusan itu sebagai satu rahmat Tuhan selepas hampir dua bulan menanggung dugaan besar ini," katanya.