Tuesday, September 10, 2013

Noraniza Idris dipenjara 80 hari

Noraniza Idris dipenjara 80 hari

Noraniza Idris menutup muka ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor semalam. - BERNAMA

SHAH ALAM 4 Okt. - Seorang bekas pegawai akaun, Noraniza Idris dihukum penjara 80 hari dan diperintah membayar pampasan RM40,000 kepada bekas majikannya oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah melakukan pecah amanah antara Julai dan September tahun lalu.
Noraniza, 25, yang hamil tiga bulan mengaku menyalahgunakan wang RM60,651 milik syarikat perkhidmatan penghantaran logistik, syarikat East West Freight Services Sdn. Bhd. antara 29 Julai dan 7 September tahun lalu di syarikat berkenaan di Pelabuhan Klang.
Tertuduh dilihat menangis teresak-esak apabila Hakim Mat Ghani Abdullah menjelaskan berulang kali tentang hukuman penjara lapan bulan jika dia gagal membayar pampasan tersebut dalam tempoh empat bulan iaitu sehingga 4 Februari tahun depan.
Ibu kepada dua orang anak itu juga gagal mengawal perasaan dengan menangis lebih kuat sebaik sahaja keluar dari kandang pesalah dan dihampiri oleh dua anggota polis wanita.
Perbuatan tertuduh menyebabkan dua anggota polis berkenaan menasihatkan tertuduh agar tidak menangis sambil dipujuk oleh seorang lelaki dipercayai suaminya.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Noraniza memberitahu, dia tidak dapat mengupah peguam bela kerana tidak mempunyai wang di samping anaknya yang sakit.
‘‘Saya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana suami saya hanya bekerja sebagai operator kilang dengan gaji RM1,000 sehingga RM1,800 sebulan malah usaha saya untuk meminta bantuan bapa saya juga gagal,’’ katanya.
Bagaimanapun Mat Ghani berkata, keputusan tersebut adalah setimpal dengan kesalahan berat yang dilakukan oleh tertuduh di samping mengambil kira kepentingan awam.
Tertuduh juga, kata beliau, sepatutnya berterima kasih kepada Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin yang hanya memohon hukuman setimpal dijatuhkan terhadapnya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mula bertugas menjaga semua urusan akaun syarikat berkenaan pada 7 April tahun lalu sehingga 31 Oktober tahun yang sama.
Pada November tahun berkenaan, syarikat tersebut telah membuat semakan terhadap buku tunai dan mendapati berlaku kekurangan dalam baki tunai berjumlah RM1,929.32.
Pengarah syarikat tersebut, S. Chandra Sekaran kemudiannya telah menghubungi Noraniza dan tertuduh mengaku telah mengambil wang syarikat untuk kegunaan sendiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121005/ma_02/Noraniza-Idris-dipenjara-80-hari#ixzz2eYaf2LJN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment