- Abdullah (tiga, kanan) bersama pengikut Syiah membuat laporan polis di IPD Kota Setar, semalam.
Menurutnya, pihaknya akan melantik peguam dalam masa terdekat kerana tiada saluran untuk membuat kenyataan, selain dibimbangi dikatakan cuba berdakwah secara terbuka.
“Kami kesal apabila Mufti Kedah membuat kenyataan pada 13 September lalu, yang disifatkan memfitnah, menghasut dan berunsur spekulasi terhadap pengikut Syiah,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar, semalam.
Abdullah berkata, berdasarkan kenyataan Mufti Kedah itu, menunjukkan seolah-olah golongan minoriti Syiah berpotensi merosakkan keamanan di negeri ini, di mana pengikut dan penyebar fahaman itu akan dikenakan hukuman berat.
Katanya, pertambahan ahli di negeri ini atas kerelaan individu yang menawar diri untuk memahami fahaman itu, bukannya daripada penyebaran dakwah.
“Walaupun di Kedah sudah ada Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013, yang akan digunakan untuk sekat penyebaran Syiah, kami tidak akan berhenti mengamalkan fahaman ini,” katanya.
Abdullah turut menafikan wujud pemberian dana kepada golongan itu seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya menegaskan kehidupan mereka secara keseluruhannya miskin dan tidak harap bantuan sesiapa.
“Begitu juga dakwaan tawaran wanita yang tidak benar sama sekali. Nikah mutaah bukan dibuat sewenang-wenangnya,” katanya.
Katanya, dianggarkan sekitar 3,000 pengikut Syiah aktif di Kedah, terutama di Pendang, Jitra, Sungai Petani, Tikam Batu, Sik dan Baling.
No comments:
Post a Comment