Friday, July 26, 2013

PENCEGAH MAKSIAT BERNAFSU BINATANG - AMBIL KESEMPATAN KE ATAS WANITA

JOHOR BAHRU: Tembelang seorang lelaki yang menonjolkan sifat murni termasuk bersungguh-sungguh mahu mencegah maksiat di kalangan penduduk di sebuah rumah pangsa di Bandar Baru Uda, Tampoi di sini, terbongkar selepas dia melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang sarat hamil lima bulan.

Gambar hiasan.

Lelaki itu juga memohon maaf terhadap perbuatannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ke telefon bimbit suami mangsa baru-baru ini meskipun menyedari perbuatannya menimbulkan tekanan mental terhadap wanita berkenaan.

Mangsa yang berusia 31 tahun berkata, kejadian berlaku 30 Ogos lalu iaitu pada jam 7 pagi selepas dia menghantar anak ke sekolah dan terserempak dengan lelaki itu di tingkat tiga rumah pangsa berkenaan.

Wanita mualaf itu berkata, dia yang tinggal bersama keluarga di tingkat empat, menyapa lelaki berusia 40-an terbabit kerana sudah mengenalinya sejak lebih lima tahun lalu.
Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai kerani di pejabat guaman tidak menyangka lelaki itu tiba-tiba bertindak melampaui batas apabila menghampirinya dan melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Saya terkejut apabila lelaki itu meraba belakang bahu dan mencium pipi kiri sebelum saya menolak tangannya.

“Dia kemudian terburu-buru masuk ke rumahnya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Tampoi pada 1 September lalu.

Sementara itu, suami mangsa yang berusia 34 tahun berkata, dia bimbangkan kesihatan mental isterinya yang masih tidak dapat melupakan peristiwa mengaibkan itu.

“Suami mana tidak tertekan jika isteri menjadi mangsa gangguan seksual tambahan pula ketika sedang mengandung.

“Kejadian berlaku ketika isteri saya sedang mengandung dan dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan akibat tertekan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Menurutnya, walaupun lelaki itu meminta maaf menerusi SMS, dia dan isteri khuatir dengan keselamatan wanita serta kanak-kanak perempuan di situ.

Dia mendakwa polis juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki itu biarpun laporan polis sudah dua kali dibuat.

No comments:

Post a Comment