Sunday, July 21, 2013

Mat Rempit berjaya merempit keputusan cemerlang

Bekas mat rempit  pelajar terbaik LUCT
Putrajaya: Seorang pemuda yang pernah terbabit dalam kegiatan rempit motosikal, Hairul Azwan Zakaria, 24, muncul antara pelajar terbaik ijazah pertama bidang Televisyen dan Filem Digital pada Konvokesyen Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam. 

Azwan yang berasal dari FELDA Sungai Koyan 3, Pahang, berkata beliau menyambung pengajiannya selepas melihat kesusahan ibu bapanya membanting tulang, berpanas, bekerja sebagai tukang kebun sekolah membesarkan mereka empat beradik. 
“Pada mulanya, saya tidak berminat sambung belajar walaupun mendapat kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agak baik kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai mekanik dan pelayan, manakala di sebelah petang boleh merempit bersama kawan. 


“Bagaimanapun, satu hari ketika mahu menghantar makan tengah hari, saya ternampak susahnya ibu dan bapa memotong rumput di tengah panas di padang sekolah untuk mencari rezeki,” katanya. 

TV3 tawar kerja 

Azwan berkata, beliau bersyukur kerana terus ditawarkan bekerja sebagai krew penerbitan di TV3, sekali gus membolehkan dia membantu ibu bapanya menyara keluarga mereka di kampung. 

“Keadaan itu menyebabkan terdetik di hati saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi supaya dapat mengubah kehidupan kami sekeluarga menjadi lebih senang, pada masa depan. 
“Tidak lama selepas itu saya mengambil keputusan menyambung pengajian sehingga memperoleh diploma dalam bidang penyiaran di LUCT, pada 2009 sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah dua tahun kemudian,” katanya ketika menghadiri majlis konvokesyen yang menyaksikan 1,360 graduan dari 65 negara dari seluruh dunia termasuk Afrika, Asia, Amerika Syarikat, Eropah dan Malaysia menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Dianugerahkan PhD 

Pada majlis itu, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah dianugerah Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kehormat Pembangunan Sosial kerana sumbangan dan keprihatinan beliau terhadap nasib dan kesusahan rakyat Kedah ketika di landa bencana alam terutama tsunami pada 2004. 

Majlis penyampaian PhD itu disempurnakan sendiri oleh Canselor LUCT merangkap Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom Abdullah sempena Konvokesyen LUCT di PICC di sini, pagi semalam.

No comments:

Post a Comment