Selepas percintaannya dengan pelakon Tiz Zaqyah Razak kecundang di tengah jalan, nama Remy Ishak sering dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon jelita Maya Karin.
Namun, Remy menafikannya dan mendakwa mereka hanya teman biasa. Kata pelakon kacak berusia 31 tahun ini, dia masih lagi ‘mencari cinta’ selain lebih memberi perhatian kepada karier lakonannya.
Remy yang ditemui ketika mengikuti rombongan lawatan pemenang Anugerah Skrin 2011 dan 2012 ke Seoul, Korea Selatan anjuran TV3, baru-baru ini berkata, dia kini sangat seronok berlakon.
“Sekarang saya sibuk dengan karier lakonan hingga tiada masa untuk bercinta. Saya sedar ramai rakan seusia sudah berkahwin dan mempunyai keluarga dan saya pula aktif membina kerjaya.
“Sekarang saya sibuk dengan karier lakonan hingga tiada masa untuk bercinta. Saya sedar ramai rakan seusia sudah berkahwin dan mempunyai keluarga dan saya pula aktif membina kerjaya.
“Bukan serik bercinta tetapi saya sebenarnya masih mencari pasangan yang sesuai. Saya inginkan seseorang yang boleh menerima diri ini seadanya sebagai Mohammad Zalimie Ishak dan bukannya Remy Ishak,” katanya.
Menurut anak jati Masjid Tanah, Melaka ini lagi, dia juga enggan mengenang episod cinta yang sudah berlalu itu. Apatah lagi bekas kekasihnya juga sudah menemui pengganti dan kebahagiaan baru.
Sikap Remy yang dilihat semakin positif serta terbuka membicarakan soal cinta kini bagaikan dimensi baru dirinya. Bukan apa, sebelum ini dia agak payah untuk berkongsi.
“Sekarang saya sudah matang menghadapinya. Dalam tempoh lapan tahun ini, terlalu banyak perkara yang saya belajar terutama dalam memupuk hubungan baik bersama media.
“Saya sentiasa bermuhasabah diri dan sedar betapa artis dengan media perlu ada jalinan hubungan yang baik. Jadi saya harus bersikap terbuka untuk membicarakan soal peribadi.
“Apatah lagi, saya tahu sekarang peminat bukan hanya mahu mengetahui perkembangan karier seseorang artis tetapi pada masa sama juga kisah peribadi seperti hubungan cinta,” katanya.
Menjelaskan mengenai sikapnya yang pernah dilabel media sebagai pemarah dan panas baran tatkala ditanya mengenai cinta sebelum ini, Remy berkata, ketika itu dia dihimpit tekanan serta emosi.
Katanya, apapun dia tidak marah kepada media tetapi kurang selesa membicarakannya kerana berpegang pada matlamat utama untuk mencipta nama sebagai pelakon.
“Memang niat utama saya memilih kerjaya sebagai pelakon kerana minat. Atas sebab itu, saya sanggup tinggalkan kampung halaman dan berhijrah ke ibu kota untuk mencuba nasib.
“Pun begitu, ternyata bukan mudah untuk saya membina karier seni ini apatah lagi terfikir berjaya mencipta nama seperti sekarang. Apa yang pasti, niat saya jadi artis untuk mengetengahkan bakat dimiliki,” katanya.
Menurut anak kedua daripada empat beradik ini, berpaksikan alasan itu dia agak kurang selesa apabila sering diajukan media dengan soalan sama yang lebih menjurus pada kisah peribadi seperti percintaannya berbanding karier.
Apapun, Remy mengakui dia amat berterima kasih kepada pengarah terkenal, Osman Ali yang bukan saja bertanggungjawab memberi peluang kepada karier lakonannya dikenali masyarakat tetapi pada masa sama banyak menasihati dirinya.
Tak pernah rasa diri popular
Pernah memenangi trofi Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak dua kali tidak membuatkan Remy lupa diri pada sejarah lalunya.
Katanya, dia tidak pernah berasakan dirinya sudah menjadi pelakon popular atau selebriti dikenali ramai dan dia masih seperti Remy yang dulu.
Remy berkata, sehingga kini pun dia masih lagi meluangkan masa menghadiri sesi uji bakat lakonan. Malah, pada masa sama dia turut positif sekiranya nama ditolak.
“Saya selesa menghadiri sesi uji bakat diadakan dari dulu hingga sekarang. Apatah lagi, saya juga bukan seorang pelakon yang suka mengambil semua tawaran yang datang.
“Ditambah pula, selepas memenangi anugerah membuatkan saya perlu bersikap lebih memilih terutama pada skrip yang bagus untuk memastikan hasil produk seni terbaik,” katanya.
Remy yang mengakui suka menonton setiap filem, telefilem dan drama lakonannya sendiri memaklumkan dia mengambil pendekatan itu bagi mengenal pasti setiap kelemahan dan kekurangan pada lakonan dipersembahkan.
Kata Remy, dia juga tidak malu menonton lakonannya sendiri kerana beranggapan ia satu keperluan. Ujarnya adalah wajar bagi dirinya menonton lakonan sendiri untuk menilainya.
“Menerusi apa yang ditonton itu, secara tidak langsung memberi peluang kepada saya mengenal pasti kekurangan serta memperbaiki mutu lakonan dari masa ke semasa.
“Bahkan, walau pun nama saya sudah dikenali ramai tetapi ia belum lagi membuatkan saya berada pada tahap selamat. Jujurnya saya akui sehingga kini masih lagi bekerja keras dalam membina nama dalam kerjaya lakonan ini,” katanya.
Remy yang turut memiliki bakat dalam nyanyian, bagaimanapun mengakui dia tidak terfikir lagi pada masa ini untuk aktif sebagai penyanyi. Katanya, sekarang fokus hanya pada lakonan saja.
Menurut duta produk Dashing yang mula dikenali menerusi telefilem Akuarium Cinta ini lagi, apa yang pasti dia turut menyimpan impian untuk duduk di kerusi pengarah suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment