Menjaga peralatan kubur dengan baik menjadi rutin lelaki ini.
PENGALAMAN terjumpa mayat yang tidak diterima bumi antara detik yang tidak boleh dilupai oleh Solihin Yusoff, 35, sepanjang bergelar penggali kubur. Ceritanya, pada ketika itu dia sedang menggali sebuah kubur di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Tokong.
Gara-gara tidak mempunyai batu nisan, dia tidak sangka tanah yang digalinya sebenarnya sudah terdapat jasad lain di dalamnya.
“Pada masa itulah saya terkejut apabila mendapati jasad berkenaan masih ada sedangkan papan keranda sudah pun reput, sementara kain kafan yang membaluti tubuh mayat berkenaan juga sudah tiada.
“Anehnya, saya dapat lihat jasadnya berwarna merah seakan terbakar dan wajah semua tidak ada, cuma jasad sahaja sementara kukunya ibarat hidup.
“Kuku mayat berkenaan memanjang seakan hidup dan membelit badannya sendiri, itu antara pengalaman yang saya tidak akan lupakan sepanjang hayat,” katanya kepada Sinar Harian.
Kubur bercahaya
Anak kelahiran Kampung Tanjung Tokong itu sudah hampir 25 tahun bergelar penggali kubur. Dia yang bekerja sebagai kontraktor di sebuah syarikat telekomunikasi turut mewarisi bakat menggali kubur daripada ayahnya.
Seperti mana janji ALLAH SWT, sesiapa yang mengikut ajaran-Nya pasti akan dipermudahkan di alam barzakh. Solihin bertuah kerana melihat sendiri keajaiban berkenaan di hadapan matanya pada suatu malam.
Menurutnya, dia pernah menyaksikan kubur bercahaya pada waktu malam namun kejadian berkenaan tidak dapat dilihat rakan yang lain.
Pada suatu malam ketika dia dan tiga lagi rakan yang lain mahu menggali kubur, tiba-tiba dilihatnya satu kubur bercahaya seakan diterangi lampu yang amat cerah.
Pada ketika itu dia memanggil rakannya untuk melihat kejadian berkenaan namun disanggah rakan-rakan yang lain kerana tidak dapat melihatnya.
“Memang saya sedikit terkejut, tapi itulah kebesaran ALLAH SWT, kubur berkenaan milik seorang yang boleh digelar ustaz kerana dia adalah guru agama yang turut mengajar anak Tanjung Tokong membaca al-Quran.
“Malah arwah juga adalah antara orang penting yang memandikan jenazah sekiranya adanya mayat,” katanya.
Solihin mengakui mula seronok datang ke kubur sejak kecil lagi dan kemudiannya membantu bapanya menggali kubur sejak berusia 12 tahun.
Rasa ada kematian
Mempunyai pengalaman agak luas, lelaki yang sudah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak ini mempunyai teknik tertentu untuk menggali kubur. Kebiasaannya dia akan mengukur tanah kubur hanya menggunakan cangkulnya sahaja.
Akibat sudah terlalu biasa dengan kematian, Solihin seakan dapat merasa akan ada kematian yang akan berlaku.
Bukan rekaan, namun itulah yang berlaku terhadap dirinya sehingga majikannya sendiri menyedari kelakuannya apabila tiba saat dia akan menggali kubur.
“Ya, saya sendiri dapat rasa diri saya tidak dapat duduk diam dan selepas itu akan ada perkhabaran orang meninggal dunia dan saya akan terus ke kubur untuk menggali.
“Saya sendiri tidak pasti mengapa tapi itulah yang berlaku terhadap diri saya, majikan saya tidak mempunyai masalah untuk melepaskan saya apabila waktu bekerja untuk ke kubur,” katanya.
Sama seperti orang lain, Solihin akan membaca surah al-Fatihah dan berselawat ketika menjalankan tugasannya di kubur.
“Biasalah orang sentiasa ingat kubur ini tempat menakutkan tetapi kita tidak boleh bersikap demikian kerana inilah tempat kita akan ‘tinggal’ nanti,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment