Cermin Diri Dulu Rita, Kata Zaquan
[SH] MENGANGGAP kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar melampau dan keterlaluan, pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Zaquan Adha Abd Razak tampil membidas pelakon itu di laman Twitter, hari ini.
Zaquan yang juga kembar kepada bekas suami Rita, Aidil Zakuan berkata, pelakon itu seharusnya muhasabah diri terlebih dahulu sebelum mahu menyentuh isu agama.
“Jangan sesedap mulut cakap orang cetek ilmu agama...cermin diri dulu sebelum nak sentuh hal-hal agama.
“Dan kalau rasa diri itu tinggi ilmu agama... mari bersemuka,” kata Zaquan.
Zaquan juga mahu Rita Rudaini berhenti daripada menagih simpati orang lain dengan memburukkan keluarganya kepada pihak media.
“Sudah-sudahlah nak raih simpati orang. “Lagipun, kau boleh sentuh hal rumah tangga kau sahaja tapi jangan babitkan orang tua dan keluarga aku,” tegas Zaquan yang juga suami kepada Ayu Raudah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rita yang menganggap tindakan Aidil menceraikannya dengan talak satu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), baru-baru ini terutama di Bulan Ramadhan adalah perbuatan orang yang cetek ilmu agama.
Menerusi laporan berita tempatan hari ini, Rita memberitahu bahawa beliau sudah buka buku baru dalam kehidupannya sejak Aidil menceraikannya dengan talak satu pada 4 Ogos lalu, iaitu pada malam 27 hari berpuasa.
“Hati saya sudah lama kosong... kosong sekosongnya! Tiada kata yang dapat diungkap untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini.
“Diceraikan pada bulan Ramadan dan beberapa hari nak menyambut Syawal, kedengaran amat kejam. Manusia yang kurang didikan agama saja melakukan tindakan merobohkan masjid pada bulan Ramadan. Mungkin Aidil tak tahu, pada hari dia melafazkan talak pada saya iaitu malam 27 berpuasa, kemungkinan boleh jatuh pada malam lailatul qadar. Tapi, Aidil tahu ke apakah malam lailatul qadar?
“Saya bukannya cakap saya baik sangat, tapi saya sedih melihat betapa ceteknya ilmu agama Aidil. Bagi saya, lelaki seperti Aidil tidak layak dibuat suami mahupun menantu.
" Bagaimana nak layak dijadikan suami, jika soal cerai berai pun boleh dibuat main-main. Dulu, masa tergila-gilakan saya, sanggup bawa saya berkahwin lari ke Songkhla, Thailand.
Sanggup harungi lautan api. Sekarang, apabila sudah benci, tendang saya seperti bola, ceraikan saya melalui SMS saja. Manusia macam inikah layak menjadi pemimpin keluarga, kalau dia sendiri pun tidak betul dan cetek ilmu agama?
“Saya tidak kesal diceraikan, malah saya tahu kesudahannya, kami akan bercerai juga tapi kenalah ikut prosedur. Dia fikir saya dan anak-anaknya barang mainan, boleh campak sesuka hati jika tidak lagi diperlukan?,” ujarnya.
Sebelum ini, kemelut perkahwinan yang dilalui Rita 37, akhirnya tiba di penghujung apabila suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil 26, menceraikannya dengan talak satu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), baru-baru ini.
Kes perbicaraan perceraian dan tuntutan mereka belum lagi diputuskan walaupun perbicaraan sudah berlangsung selama dua tahun, tapi ikatan mereka sebagai suami isteri terlebih dulu sudah terlerai.
P/s: TM tidak mahulah menambah atau memberikan sebarang komen. Cuma TM suka akan kenyataan Rita yang berbunyi, "Dulu, masa tergila-gilakan saya, sanggup bawa saya berkahwin lari ke Songkhla, Thailand."
No comments:
Post a Comment