Saudara kepada penumpang dalam pesawat yang hilang, Malaysian Airlines MH370 mendakwa mereka dapat menghubungi telefon bimbit ahli keluarga yang terbabit dalam kejadian malang itu, menurut laporan media.
Washington Post berkata, keluarga sebahagian daripada 239 penumpang yang menaiki MH370 mendakwamereka mendengar nada dering ketika membuat panggilan telefon.
“Dalam sebahagian kes lain, ada saudara mendakwa dapat melihat keluarga yang menaiki pesawat itu aktif online menerusi laman jaringan tempatan Cina digelar QQ,” lapor Post.
Perkembangan yang menyeramkan itu timbul dan pihak berkuasa Malaysia juga menggambarkan kehilangan MH370 sebagai misteri.
Sangat mengecewakan bagi mereka yang menunggu dengan harapan menggunung untuk sebarang berita atau petanda, apabila mesej tidak berjawab dan panggilan tidak berangkat.
Dalam pada pasukan pencari dan penyelamat dari 10 negara meluaskan lagi kawasan pencarian untuk mengesan pesawat hilang itu, doa masih belum dimakbulkan.
Daily Mail melaporkan misteri panggilan telefon dan kehadiran penumpang MH370 aktif dalam talian menimbulkan suasana tidak keruan di kalangan keluarga dan waris terdekat.
Keluarga dan saudara-mara menghabiskan masa tiga hari berkumpul di Hotel Beijing dengan perasaan kecewa, menanti dengan gelisah untuk sebarang berita mengenai MH370 yang hilang itu.
Pegawai Malaysian Airlines di Beijing sudah diberitahu berulang kali mengenai akaun QQ dan panggilan telefon yang berdering.
Keluarga dan waris terdekat berharap pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan berjaya mendapatkan isyarat GPS daripada telefon berkenaan dan mengesan ahli keluarga mereka.
Bian Liangwei, adik perempuan kepada seorang pesawat MH370, mendakwa dia menelefon abangnya dan mendengar ada nada dering.
“Pagi ini, kira-kira jam 11.40 pagi, saya menghubungi nombor telefon bimbit abang saya dua kali, dan saya mendengar nada dering,” katanya kepada International Business Times.
Pada jam 2 petang, Bian telefon sekali lagi dan mendengar nada dering itu lagi.
“Jika saya boleh menembusi talian itu, polis boleh mengesan kedudukannya, dan ada peluang dia masih hidup,” katanya.
Bagaimanapun, pada sidang media di Beijing, jurucakap MAS, Ignatius Ong, berkata salah satu nombor yang diberikan kepada ibu pejabat syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur tidak berjaya dihubungi.
“Saya sendiri ada membuat panggilan kepada nombor itu sebanyak lima kali sementara pusat kawalan penerbangan juga menghubunginya. Kami tidak mendapat nada jawapan,” Ong berkata.
Selepas tiga hari pencarian tidak berhasil, pasukan SAR meluaskan radius pencarian mereka dan ia termasuk ke kawasan yang sebelum ini tidak diambil kira.
“Pencarian pada mulanya dibuat di laluan pesawat MH370 tetapi kita sudah membuat keputusan untuk meluaskan radius dan memasukkan kawasan lain,” kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Pencarian kini beralih ke Selat Melaka, kira-kira 100 batu jauhnya daripada kali terakhir pesawat itu dirakamkan oleh perkakas pemantauan elektronik.
Peralihan dramatik itu mencetuskan kemungkinan pesawat itu terbang tanpa dapat dijejak, merentasi tanah besar Malaysia, sebelum menjunam ke dalam laut.
Malaysian Airlines dalam kenyataannya berkata, fokus pencarian kini ialah di pantai barat negara, berhampiran Selat Melaka, iaitu bahagian bertentangan di semenanjung Malaysia di mana pesawat MH370 dilaporkan hilang.
Azharuddin berkata, kenyataan itu tidak bermakna pihak berkuasa percaya pesawat itu menghala ke pantai barat dan pencarian dilakukan di kedua-dua bahagian.
Boeing 777 membawa 239 penumpang ketika ia hilang daripada radar pada awal pagi Sabtu ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur, menyebabkan usaha pencarian besar-besaran antarabangsa dijalankan.
Pihak berkuasa memulakan pencarian mereka di kawasan di mana pesawat itu kali terakhir diketahui berada, iaitu di satu kawasan di laut antara Malaysia dan Vietnam. Tanpa sebarang serpihan pesawat ditemui, mereka secara sistematik meluaskan pencarian dan memasukkan kawasan di mana pesawat itu mungkin berada, secara teorinya mengikut jumlah minyak yang berada di tangkinya.
Mereka juga berkata, pesawat itu mungkin berpatah balik ke Kuala Lumpur.
Pada Ahad, ketua pasukan tentera udara berkata, ada petanda di radar tentera yang menunjukkan pesawat itu melakukan pusingan U. – 11 Mac, 2014.
No comments:
Post a Comment