sumber
Pakat penerbangan dan editor airlineratings.com Geoffrey Thomas berkata kepada akhbar milik Fairfax Media itu beliau menjangkakan pesawat tersebut berkemungkinan terlibat dengan "bencana letupan mengejut" kerana tiada sebarang panggilan kecemasan atau amaran dibuat.
Pesawat Boeing 777-200 dengan 239 penumpang putus hubungan dengan pusat kawalan udara Subang dua jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing. Ia merupakan pesawat perkongsian kod antara MAS dengan China Southern Airlines.
Thomas, yang terlibat dengan industri penerbangan selama 35 tahun menjangkakan letupan mungkin berpunca daripada sama ada bom pengganas mahupun pintu kargo tercabut dari pesawat.
Namun beliau berkata, insiden seperti itu tidak berlaku sejak 1970, dan tidak pernah berlaku masalah teknikal terhadap Boeing 777 sejak ia dilancarkan pada 1995.
Akhbar Australian itu memetik Thomas berkata pesawat jenis itu hanya terlibat dalam nahas sekali disebabkan "kesilapan juruterbang" apabila pesawat berkenaan melanggar tembok ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco tahun lalu. Tiga terkorban dan ratusan penumpang mengalami kecederaan.
"Industri ini terkejut. Malaysia Airlines mempunyai reputasi yang cukup baik dan rekod cemerlang dengan juruterbangnya, dan Boeing 777 adalah tunjang kepada kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia," katanya.
Komentar penerbangan yang lain bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan lanjut perlu dilakukan.
"Ia mempunyai keupayaan yang tinggi, mengagumkan dan kenderaan yang mewah," lapor pakar akademik Central Queensland University, Ron Bishop kepada Fairfax Media.
Dianggarkan sekitar 924 "777" sedang beroperasi dengan jumlah terbesar dimiliki syarikat penerbangan Emirates (87). Pesawat berkenaan turut digunakan Virgin.
"Ia pesawat yang dipercayai dan terbukti mampu terbang untuk tempoh masa melebihi jutaan jam. Kesemuanya direkodkan dengan pesawat ini, jadi amat mengejutkan mendengar berita ini," kata Professor Bishop.
"Perkara seumpama ini sangat, sangat jarang berlaku hari ini – umpama menang loteri."
Thomas turut menolak kemungkinan pembantu juruterbang berusia 27 tahun itu kurang pengalaman terbang mengambilkira beliau mempunyai 2,700 jam rekod penerbangan, berbanding 18,000 jam oleh ketua juruterbangnya.
"Pembantu juruterbang Malaysia Airlines sangat terlatih dan beliau ini mempunyai pengalaman lebih tujuh tahun dengan syarikat itu," kata Thomas.
"Saya tidak percaya ia masalah juruterbang atau pesawat," katanya.
Jika pesawat itu ditemui dalam keadaan terhempas, penyiasat akan mensasarkan rakaman data penerbangan, yang mengukur pergerakan enjin, haidraulik dan petunjuk teknikal dan rakaman suara kokpit Untuk mengenalpasti punca nahas, kata akhbar tersebut.
Professor Bishop berkata insiden berkenaan berlaku ketika jumlah penumpang yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kebiasannya rakyat Australia terbang 2.5 kali setahun, dan peningkatan seperti ini meningkat diseluruh dunia. Jadi prinsipnya sama dengan peningkatan jumlah kereta di jalan raya, secara statistiknya akan berlaku lebih banyak kemalangan," katanya.
Pakat komunikasi krisis dan penerbangan, Hamish McLean berkata, dengan lebih 5,000 unit pesawat di udara pada satu-satu masa, kehilangan pesawat adalah perkara yang pelik dan mengejutkan kerana ia dimiliki syarikat penerbangan terkenal.
"Ada terdapat banyak kemungkinan yang berlaku, dan masalahnya, ia sekadar spekulasi yang memberi tekanan kepada keluarga mangsa penumpang," katanya. – 8 Mac, 2014.
No comments:
Post a Comment