Sunday, July 6, 2014

Jangan Keluarkan Gambar saya tidak berhijab - Arwah Sharifah Aini


PEMERGIAN biduanita tersohor negara, Datuk Sharifah Aini, 61, awal pagi semalam sememangnya meninggalkan kesan yang cukup mendalam di hati para peminatnya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarhamah telah meninggalkan tiga pesanan iaitu jangan mengambil gambar jenazahnya, jangan membuka tutup muka dan juga mahukan anak tunggalnya, Aliff Omar, 32, mengimamkan solat jenazah.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai satu lagi ‘wasiat’ Allahyarhamah yang pernah diungkapkannya sewaktu program ‘Celik Hati Prof Muhaya’ pada Jun tahun lalu.

Pada minit ke 12:16 rakaman tersebut, beliau telah memberi pesanan kepada stesen televisyen dan rakan media agar tidak mengeluarkan video atau gambar-gambar lamanya yang tidak berhijab.

“Saya ada permintaan kepada stesen TV, kepada kawan-kawan di media. Kalau nak keluarkan gambar-gambar, tolonglah jangan keluarkan yang dulu yang tak berhijab. Kesian kat kita semua. Kami semua dah ‘move on’. Kita tak kata kita baik, tapi kita nak jadi baik. Kita nak dekat dengan Allah. Setiap hari kita mencari keredhaan Allah,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Allahyarhamah turut berpesan agar tidak melengah-lengahkan waktu solat kepada para penonton dan juga rakan-rakan artis.

“Bila masuk saja waktu, saya memang dah siap dah dengan wudhu’. Saya tak nak tinggal, saya tak nak lambat. Saya takut in between, kalau saya mati? Lima minit can make a lot of differences,” katanya.

Diharap dengan perkongsian ini, orang ramai di luar sana termasuklah pihak media akan berusaha untuk menghormati permintaan beliau agar rohnya sentiasa tenang di sana.

Jadikan juga setiap pesanannya sebagai peringatan untuk kita lebih bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah kepada-Nya selepas ini.

Al-Fatihah…

No comments:

Post a Comment