Lesen perniagaan Restoran Nasi Kandar terkenal di Ipoh yang lebih dikenali dengan 'nasi ganja' telah dibatalkan.
Menurut sumber lesen perniagaan restoran itu terpaksa dibatalkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) setelah pengusaha itu didapati melanggar peraturan berkaitan kebersihan dalam proses penyediaan makanan.
Sumber itu memberitahu pengusaha terbabit perlu memohon semula lesen serta mematuhi syarat-syarat kebersihan yang ditetapkan sebelum MBI boleh mengeluarkan lesen baharu.
"Sehingga lesen baharu dapat dikeluarkan, restoran itu tidak dibenarkan beroperasi atau menjual makanan kepada orang ramai," kata sumber itu.
Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim yang ditemui di majlis perasmian expo perabut di Stadium Perak petang tadi enggan mengulas lanjut mengenai pembatalan lesen tersebut tetapi akan membuat penjelasan dalam satu sidang media esok.
Beliau bagaimanapun mengesahkan bahawa MBI ada mengeluarkan kompaun terhadap pengusaha nasi kandar di Jalan Yang Kalsom itu.
Katanya anggota penguatkuasa MBI turut terlibat dalam operasi serbuan ke atas premis itu petang tadi.
Katanya operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Kesihatan dan Immigresen.
No comments:
Post a Comment